Subscribe

31 Januari 2011

Kunjungan ke Pejabat PBB di Geneva

IMG_0079

Sebab utama mengapa saya memilih untuk ke Geneva, Switzerland sebagai salah satu daripada destinasi kunjungan dalam Kembara Eropah 2010 adalah kerana keinginan untuk menjejakkan kaki ke Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang kedua terbesar selepas di New York, dan tempat tertubuhnya The League of Nations, yang menjadi perintis kepada kewujudan PBB.

Atas semangat subjek Public International Law yang usai saya ambil di universiti, keinginan untuk melihat sendiri bagaimana proses membuat sesebuah international treaty telah membuatkan saya menjadi begitu teruja apabila berpeluang ke Geneva. Pastinya, Papa & Ameer kali ini menjadi pengikut yang setia pula kerana perjalanan ke sini adalah agenda saya.

IMG_0081 

Pejabat PBB terletak tidak jauh dari pusat bandar Geneva. Untuk ke sana, kami mengambil bas yang mana perjalanannya mengambil masa lebih kurang 15 minit. Semakin menghampiri pejabat PBB ini, saya lihat begitu banyak pejabat-pejabat pertubuhan antarabangsa yang bernaung di bawah payung PBB. Ternyata tempat ini menjadi tumpuan seluruh dunia. Macam-macam jenis manusia boleh kita lihat.

Perlu juga saya nyatakan di sini, kawasan pejabat PBB ini sangat besar, jadi untuk masuk dan menyertai lawatan, anda harus masuk melalui pintu Pregny Gate – Palais Des Nations.

IMG_0012 (2)

Kawalan keselamatan di sini sangat ketat, seperti mahu menaiki kapal terbang pula apabila kita harus membawa dokumen pengenalan diri yang sah, sebaik-baiknya pasport untuk diberi kebenaran memasuki kawasan pejabat PBB ini. Barang-barang kita juga akan diperiksa untuk memastikan tiada barang terlarang yang dibawa masuk. Sudah nama pun tempat ini milik pertubuhan antarabangsa, maka penjagaan keselamatannya mestilah sangat terperinci.

IMG_0015 (2)

Lawatan berpandu atau guided tours di sini disediakan dalam Bahasa Inggeris, dan beberapa bahasa lain, mengikut kepada kekosongan. Bayaran yang dikenakan untuk orang dewasa adalah CHF 12 untuk orang dewasa, manakala CHF 10 untuk pelajar universiti, warga emas dan orang kurang upaya. Pelajar sekolah pula dikenakan bayaran CHF 7. Mereka telah mengenakan bayaran CHF 10 kepada saya dan Ameer, tetapi tidak pula meminta bukti kami sebagai pelajar universiti. Kalau tidak, nak juga saya tayang kad matrik UIAM saya. Haha.

Saya kagum sungguh dengan receptionist yang di atas ini. Beliau boleh bertutur dalam banyak bahasa, bergantung kepada pelanggan yang datang. Sekejap dalam Bahasa Perancis, kemudian bertukar Bahasa Sepanyol. Bila tiba dengan kami pula, bercakap Bahasa Inggeris. Pastinya, kemahiran bertutur dalam pelbagai bahasa sangat penting di sini, memandangkan kita akan bekerja dengan orang dari seluruh dunia.

IMG_0021 (2)

Selepas menunggu beberapa ketika, akhirnya kami memulakanlah lawatan kami dengan diiringi seorang pegawai PPB. Kalau tidak silap, ada lebih kurang 20 orang dalam kumpulan kami. Rata-rata orang putih dari Amerika Syarikat. Ada juga sebuah keluarga dari Asia Selatan yang membawa anak-anak kecil. Sepanjang lawatan, budak-budak itu selalu buat bising sampaikan ditegur oleh pegawai PBB itu. Saya pun dah lupa apa nama pegawai ini.

IMG_0025 (2)

Pegawai tersebut telah menerangkan kepada kami struktur organisasi PBB. Terus saya teringatkan Professor Ghafur, pensyarah Public International Law di UIAM yang telah mengajar saya mengenai PBB. Ada banyak cabang sebenarnya dalam PBB. Ia beribu pejabat di New York, tetapi juga ada cawangannya di Geneva, Nairobi, dan Vienna.

Selain itu, ada beberapa agensi PBB di serata dunia yang bertindak menguruskan hal-hal berkaitan bidang-bidang tertentu. Sebagai contoh, United Nations’ Scientific, Education & Cultural Organization (UNESCO) letaknya di Paris, Perancis.

Apa yang menarik tentang Pejabat PBB ini – atau lebih dikenali sebagai Palais Des Nations, adalah hiasan dalamannya yang disumbangkan oleh negara-negara ahli dari seluruh dunia. Antaranya adalah permaidani, lukisan, arca, kertas dinding, dan pelbagai lagi.

Berikut antara gambar-gambar yang sempat saya tangkap :

IMG_0026 (2)   IMG_0029 (2)IMG_0013IMG_0052IMG_0065

Saya tak jumpa pula apa-apa hasil seni dari Malaysia. Tempat ini besar, jadi kami hanya lihat pameran-pameran di sepanjang lorang yang kami lalu sahaja. Apa yang paling dekat dengan Malaysia pun, adalah replika di atas yang disumbangkan oleh Thailand. Kalaulah saya terjumpa barangan dari Malaysia, pasti berasa bangga ya amat dan akan ambil gambar banyak-banyak.

IMG_0032 (2)

Lawatan diteruskan pula dengan menuju ke bangunan Palais Des Nations yang asli, tempat di mana ditubuhkan League of Nations, sebuah pertubuhan yang muncul lebih awal daripada PBB yang kemudian dibubarkan, lantas memberi ruang untuk mewujudkan PBB yang seperti mana kita tahu hari ini.

IMG_0020

Beginilah rupa bangunan Palais Des Nations dari hadapan. Berdiri megah di bumi Geneva, sebagai lambang keamanan dan penyatuan semua negara-negara yang menjadi ahlinya. Ada banyak taman di kawasan ini, tetapi semuanya adalah tapak larangan bagi para pengunjung. Kami diberitahu bahawa pokok-pokok dari seluruh dunia ditanam di sini. Tetapi, tidak berpeluang melihatnya kerana lawatan ini hanya membawa kami ke bahagian dalam bangunan.

Sepanjang lawatan, kami dibawa ke tiga buah bilik persidangan. Ketika kunjungan, tidak ada persidangan yang besar sedang berlangsung. Mesyuarat dari seluruh dunia sering berlangsung di Palais Des Nations ini yang mempertemukan wakil kerajaan dari seluruh dunia berbincang untuk menentukan polisi dan undang-undang untuk kepentingan bersama.

IMG_0045

Ini  adalah The Assembly Hall, bilik persidangan yang terbesar sekali di sini. Apabila melihat tempat ini buat pertama kali, rasa takjub sungguh kerana suasanya seperti terkesan aura yang sangat hebat. Di sinilah keputusan-keputusan penting yang melibatkan seluruh dunia dibuat. Ini belum lagi ke New York lagi. Kalau di sana, pasti auranya lebih terasa! Saya ada juga cuba duduk di kerusi itu untuk mengetahui perasaannya. Mana tahu, lepas ini saya akan kembali sebagai wakil kerajaan Malaysia. Mudah-mudahan!

IMG_0005

Ini pula bilik persidangan yang lama. Kelihatan sangat 50-an. Disebabkan itu, kami hanya berpeluang melihat dari bilik pandang di atas, tempat pemerhati. Saya cuba membayangkan kalau tempat ini dipenuhi dengan para perwakilan.

Kami diberitahu bahawa bahasa rasmi PBB ada 6 iaitu Bahasa Inggeris, Perancis, Cina, Rusia, Sepanyol, dan Arab. Para perwakilan boleh memilih untuk berbicara dalam mana-mana 6 bahasa di atas, dan ia akan juga diterjemahkan ke dalam 6 bahasa itu. Jika perwakilan mahu bercakap dalam bahasa selain dari yang di dalam senarai, mereka harus menyediakan penterjemah sendiri.

Agak-agaknya, bilakah Bahasa Melayu akan diangkat menjadi bahasa rasmi PBB? Usaha harus digerakkan oleh Malaysia, Indonesia, Brunei, & Singapura agar hal ini boleh menjadi kenyataan. Langkah pertama, mungkin menjadi bahasa rasmi ASEAN?

IMG_0056   IMG_0061

Yang di atas ini pula adalah The Human Rights & The Alliance of Civilization Room. Apa yang sangat menarik mengenai bilik ini adalah silingnya yang dihiasi hasil kerja Miquel Barcelò dengan menjadikan bilik ini seperti sebuah gua yang ada batu-batuan stalaktit bermacam warna, dan sebuah lautan. Anda boleh baca lebih lanjut mengenainya di sini.

IMG_0070

Begitulah serba sedikit kunjungan saya ke PPB Geneva. Kalau anda berpeluang ke Geneva, teramat rugi kalau tidak mengunjunginya – terutamanya bagi yang meminati bidang perhubungan dan undang-undang antarabangsa. Untuk maklumat lanjut, bolehlah ke Laman Web Rasminya.

Sekian!

4 komentar:

Liza berkata...

you've been to geneva?? that is so cool!!

nyonyacyber berkata...

menarik! saya akan ke geneva oct nanti.. apa yg menarik lagi ttg geneva yer?

Kak Jejars berkata...

Best ^_^

PENA CELORENG berkata...

Dearest Azree, sorry for taking so long to explore yr suggestion related to UN HQ. I m bought down wt so many things esp my Phd Proposal and kena virus lagi, habis. I dont really hv a good sleep for the last two weeks, almost. Done. So nice and so lucky u dapat masuk. An excellence article, detail and SS. bye

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan