Subscribe

09 Jun 2011

Apabila Penulis Lirik Berbicara

IMG_0723 

Sangat jarang kita mendengar penulis lirik turun padang untuk berbicara mengenai seni penulisan lirik dengan rakan-rakan mereka dari cabang sastera yang lain. Bidang penulisan lirik seolah-olah menjadi satu bidang yang sangat asing dengan dunia sastera, padahal ia masih menggunakan aksara dan kata sebagai senjata utama, meski beriringan muzika dan nyanyian.

Semasa program GETARAN JIWA : Irama, Lagu dan Sastera berlangsung di Menara Dewan Bahasa & Pustaka pada 24 Mei lalu, persoalan mengenai seni sastera dalam dunia muzik akhirnya telah diperbincangkan dengan kupasan yang begitu menarik oleh para panelis yang merupakan penulis lirik yang masyur.

Majlis anjuran bersama Dewan Bahasa & Pustaka dan Persatuan Karyawan Malaysia ini diserikan dengan panelis yang amat-amat saya kagumi.

Mana mungkin saya ketinggalan mengikuti acara ini kerana bukan senang hendak bertentang mata seraya menuntut ilmu dengan 3 orang penulis lirik yang sangat-sangat saya kagumi. Kerana merekalah, cinta saya kepada seni penulisan dan sastera semakin subur dan mekar.

Habsah Hassan, Hairul Anuar Harun, Ad Samad; nama-nama besar dalam dunia penulisan lirik Malaysia. Berpengerusikan Prof Madya Dr Lim Swee Tin – melengkapkan lagi nama-nama besar yang memang pakar dan arif dalam penulisan lirik.

Majlis ini terbahagi kepada dua, iaitu dimulakan dengan Majlis Dialog, dan disusuli pula dengan acara Deklamasi Puisi yang diadakan di Dewan Banquet. Acara itu diserikan dengan persembahan oleh Iqwal, Roslan Madun, Imuda, Suhaimi Meor Hassan, Julie Sudiro, Seniwati Sarimah, Freddy Fernandez, dan ramai lagi.

Berikut saya perturunkan inti daripada apa yang saya catatkan daripada setiap panelis.

Hairul Anuar Harun

  • Apabila mendapat lagu, akan anggap semua lagu berpotensi untuk memenangi anugerah dan akan buat yang sehabis baik.
  • Dalam sesebuah lirik, ada 5 elemen yang perlu ada iaitu Lagu, Ilmu, Rasa, Ilham, dan Karisma. Gabungkan kesemua pangkalnya, jadilah LIRIK.
  • Lirik adalah rakaman rohani.
  • Lirik boleh dikategorikan kepada dua iaitu Moden dan Tradisional. Unsur sastera banyak terdapat dalam lagu tradisional yang dipecahkan pula kepada lagu rakyat, irama Malaysia, Etnik Kreatif, Ritual, dan berunsurkan loghat/dialek.

Ad Samad

  • Penulis perlu ada cinta kepada bahasa
  • Masyarakat suka yang baru dan berkilat – yakni feminin, teratur, dan terletak.
  • Kalis Rindu adalah sebuah lirik yang mana beliau mencuba untuk tidak menggunakan imbuhan kata.
  • Beliau mencuba cara yang tidak konservatif.
  • Penulis lirik bukan penyajak.
  • Tak semestinya lirik teratur dan terletak tak elok. Lirik buruk pun cantik.
  • Menulis ayat yang paking senang itulah yang payah dan susah.
  • Kuantiti menghasilkan kualiti.
  • Antara ciri lirik lagu yang baik adalah Bermesej, Menghiburkan, Keaslian, Sampai kepada Masyarakat, dan ada Nilai Teknikal.

Habsah Hassan

  • Beliau seorang yang gila bahasa dan datang dari gaya yang old school.
  • Imbuhan bukan satu kemestian dalam lirik.
  • Ada bakat sahaja tak cukup untuk jadi penulis lirik yang bagus.
  • Lirik adalah bidang penulisan terakhir yang beliau ceburi sebelum penulis sajak, skrip, dan lain-lain.
  • Lirik adalah cerpen mini. Setiap lirik harus ada cerita tersendiri.
  • Guna bahasa yang mudah difahami kerana menganggap bila orang tak faham lirik beliau, maka lirik itu gagal.

0 komentar:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan